Cekal melawan kanser (2011)

2011/05/10 | Oleh Farihad Shalla Mahmud
Sumber: www.bharian.com.my


Sambutan hari lahir Sarimah Ahmad (Foto: bharian.com.my)

Sarimah bersyukur doanya melihat cicit pertama makbul

TIDAK pernah dia membayangkan bahawa Tuhan masih memberikannya peluang untuk terus bernafas dan menikmati segala keindahan ciptaan yang Maha Esa. Sejak dia disahkan mengidap penyakit barah hidung dan otak setahun lalu, dunia baginya sudah tidak mempunyai apa-apa erti lagi.

Apatah lagi selepas dimaklumkan bahawa hanya mempunyai jangka masa tiga bulan saja hidup, pastinya perkara itu memburukkan lagi keadaan serta menjadikan jiwanya kacau. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang percaya kepada qada dan qadar, setiap kali primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad mengerjakan solat, permintaannya biarlah penyakit itu segera sembuh kerana dia begitu teringin untuk melihat cicit pertamanya lahir ke muka bumi.

“Dalam keadaan bertarung nyawa seperti itu, saya sering bermohon kepada Allah supaya dipanjangkan nyawa saya. Selain kerana menyedari bahawa amalan saya masih belum cukup untuk di bawa ke sana, saya juga mahu Dia memberi peluang untuk saya melihat cicit pertama.

“Alhamdulillah, dapat juga saya melihat cicit pertama walaupun saya sendiri tidak menyangka peluang masih ada ketika nyawa berada di hujung tanduk,” cerita Sarimah ketika ditemui pada majlis meraikan ulang tahunnya yang ke-69 anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di Restoran Warisan berhampiran Dataran Merdeka malam Jumaat lalu.

Hadir sama memeriahkan majlis adalah Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez serta barisan artis antaranya Hazami, Rohana Jalil, Iqwal, Roslan Shah, Fazli Zainal, Shamsudin Lamin, Radhi Khalid dan Salwa Abdul Rahman.

Sebagai pesakit kanser, tidak dinafikan ada ketika Sarimah bagaikan pasrah dengan apa yang berlaku. Namun, semangat juangnya masih tetap tinggi untuk terus melawan penyakitnya itu. Ketika diri terkontang kanting, dia dipertemukan dengan seorang profesor yang memberikannya penawar penyakit yang dihidapinya.
“Alhamdulillah sudah nampak tanda-tanda pengurangan penyakit ini. Jika dulu kepada saya bagaikan hendak pecah dan lidah saya jadi keras, sebaik saja menggunakan rangkaian produk ini, keadaan saya lebih sihat berbanding setahun dulu.

“Jika tidak, setahun dulu iaitu sewaktu saya mahu meraikan ulang tahun yang ke-68, keadaan diri saya amat jauh berbeza. Walaupun ramai yang menyarankan saya menggunakan kemoterapi, tapi saya tidak mahu kerana dalam usia sebegitu, saya tidak sanggup menghadapi kesan sampingannya,” cerita pelakon yang mula diperkenalkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Ali Baba Bujang Lapuk ini.

Ditanya bagaimanakah keadaannya sekarang, Sarimah bersyukur kerana keadaannya bertambah pulih berbanding sebelum ini.

“Hendak kata pulih sepenuhnya, tak berani nak cakap, tapi cukuplah saya katakan keadaan sekarang banyak bezanya. Dulu saya kena makan berbelas-belas pil tapi kali ini dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Bagaimanapun, dari segi pemakanan, saya masih lagi jaga kerana saya tak mahu ia muncul lagi. Cukuplah penderitaan yang saya lalui sepanjang setahun lalu,” katanya penih keinsafan.

Niat umrah sekali lagi

DALAM keadaan bertarung nyawa itu, Sarimah berhasrat untuk mengerjakan umrah jika penyakitnya sembuh. Justeru, apabila doanya dimakbulkan, tanpa melengah-lengahkan lagi, dia berangkat ke Makkah.

Cerita ibu kepada pelakon, pengarah dan penerbit filem terkenal M.Jamil ini, walaupun masih lemah, namun bersyukur kerana mampu mengerjakan umrah tanpa perlu menyusahkan sesiapa.

“Memang saya berdoa pada Tuhan semoga mampu mengerjakan umrah dengan selamat dan sempurna. Sebaik menjejakkan kaki di tanah suci, saya boleh berdiri sendiri. Begitu juga sewaktu mengerjakan tawaf dan saie, saya boleh melakukannya sendiri tanpa kerusi roda.

“Saya berada di sana sehingga sambutan Aidilfitri. Insya-Allah, perasaan ingin kembali ke sana itu ada dan kalau ada peluang, saya mahu berada di sana sebulan. Itupun kalau ada rezeki,” kata Sarimah yang diakui kejelitaannya masih belum luntur walaupun ditimpa penyakit kronik.

Mengulas majlis jamuan ulang tahunnya itu, Sarimah berkata dia memang terkejut kerana pada awalnya diberitahu dikehendaki menghadiri majlis mesyuarat anjuran KARYAWAN.

“Disebabkan itulah penampilan saya biasa saja malam ini. Mereka cuma mahu saya datang dan bawa mana-mana ahli keluarga lain yang ingin ikut serta. Apabila sampai di sini, barulah saya tahu yang mereka mahu meraikan majlis hari jadi saya yang jatuh pada 28 April lalu,” katanya dalam nada sebak.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s