Karyawan Membasuh Luka – Acara Malam Gala (2008)

Wednesday 5 March 2008 4:35 pm
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
ent_editor@kosmo.com

Sumber: myselebriti.com

DI tengah-tengah kemelut yang belum berkesudahan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tekal dengan aspirasi perjuangannya, menghargai dan meladeni artis-artis yang memerlukan.

Itulah fungsi sebuah persatuan, maka tidak hairan kenapa di tengah pelbagai kontroversi, Karyawan terus melangkah dengan penuh gaya.

Terbaru, acara Malam Gala Karyawan sudah cukup untuk membaiki semula imej yang sebelum ini dianggap tercalar.

Itupun kalau boleh dianggap tercalar.

Karyawan menjadi tumpuan ramai apabila jawatankuasanya dikaitkan dengan isu penyelewengan sebanyak RM200,000 oleh beberapa bekas ahli yang kemudian membawa perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Ekoran tuduhan itu, beberapa jawatankuasa Karyawan disiasat oleh pihak berkuasa dan siasatan masih lagi berjalan.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez dan jawatankuasa yang bersatu di belakangnya mengambil langkah cukup bijak dengan menganjurkan acara yang turut disertai oleh hampir 300 ahli ini.

Begitu pun, acara yang berlangsung di Hotel Ritz Carlton Isnin lalu bukan hanya dilakukan untuk ‘membasuh’ segala debu kekotoran yang melekat dalam persatuan berkenaan sebelum ini.

Faktor utama Malam Gala Karyawan diadakan adalah untuk menyambut ulang tahun penubuhan Karyawan yang ke-lapan sekali gus mengumpulkan semua penerima Skim Pencen mereka di satu majlis.

“Ia bukan untuk membaiki imej yang tercalar atau membaik pulih imej saya yang kononnya terjejas akibat isu dan kontroversi sebelum ini. Bukan.

“Tetapi acara ini diadakan bagi membawa ahli-ahli Karyawan mengenang semula perjalanan kita selama lapan tahun, memberi sumbangan kemanusiaan yang tidak pernah berakhir kepada anak-anak seni tempatan,” demikian yang ditegaskan oleh Presidennya, Freddie Fernandez.

ANTARA jelitawan yang memeriahkan Malam Gala Karyawan. Dari kiri Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira, Norsheila Amin dan Maria Arshad.

Mengakui kontroversi hujung tahun 2007 yang berlarutan sehingga awal 2008 sebagai sesuatu yang mencabar kewibawaanya, Karyawan melihat kontroversi itu dari sudut positif.

Ia juga adalah luka yang akan terus meninggalkan parut kekal dalam sejarah perjuangannya yang selama ini bersih tanpa sebarang pencemaran.

Sambil berseloroh, kata Freddie dia melihat banyak sudut positif selepas insiden berkenaan. Sekurang-kurangnya dia mempunyai lebih ramai sahabat.

“Kawan karib kami sekarang ialah pegawai penguat kuasa macam polis dan BPR (Badan Pencegah Rasuah). Kalau dulu orang tak tahu akaun bank saya, sekarang mereka sudah tahu. Bukankah akaun bank hanya kita kongsikan dengan kawan baik?

“Sebab itu saya kata sekarang ni pihak berkuasa sudah jadi kawan baik Karyawan, sebab mereka juga sudah tahu berapa wang yang ada dalam akaun kami,” katanya sambil berseloroh.

Selain itu juga, kontroversi itu juga membuatkan Karyawan mendapat lebih banyak peluang muncul di dada akhbar.

Malah pergolakan dalam Karyawan juga turut mendapat perhatian ruangan berita utama dalam banyak rancangan di televisyen.

“Bayangkan, lebih 50 artikel dikeluarkan tentang Karyawan sepanjang kontroversi berkenaan di akhbar. Muka depan pun ada juga.

“Dalam rancangan Melodi pula, kenyataan tentang Karyawan diterbitkan lima minggu berturut-turut, sesuatu yang tidak pernah dikecapi oleh mana-mana persatuan,” tambah Freddie lagi.

Kontroversi yang berlaku tetap ada natijahnya. Meskipun banyak hal-hal yang ‘leceh’ perlu dilalui, sekurang-kurangnya semua ahli Karyawan yang ada sekarang perlu berbangga.

Pada akhirnya kata Freddie, semua orang tahu Karyawan adalah sebuah persatuan yang bersih daripada segala penyelewengan.

“Karyawan sebuah persatuan yang bersih. Sebab itu saya hendak ajak semua, lupakan kontroversi. Kita terus memberi tumpuan kepada perjuangan persatuan. Itu yang penting,” katanya.

Majlis ini barangkali acara besar yang terakhir dianjurkan oleh barisan jawatankuasa Karyawan di bawah kepimpinan Freddie.

Ini kerana hujung April depan, ahli Karyawan bakal memilih teraju baru untuk memimpin persatuan berkenaan.

Khabarnya Freddie tidak akan meneruskan perjuangannya dalam Karyawan jika majoriti ahli persatuan tidak lagi memerlukan dirinya untuk memacu segala aktiviti.

“Memang benar, saya akan undur kalau majoriti ahli mahu saya berundur. Itu semua bukan masalah besar kepada saya. Tetapi kalau mereka mahu saya teruskan, saya sudi untuk terus bersama dengan Karyawan,” katanya yang juga merupakan pengasas utama Karyawan pada tahun 2000.

Malam Gala Karyawan berlangsung dalam suasana cukup santai. Ia bersatu dalam rencah persahabatan yang melingkar antara ahli persatuan yang hadir.

Persahabatan yang cukup erat sesama ahli yang terdiri daripada kalangan artis generasi baru dan lama menjadikan acara ini tidak membosankan meskipun jam sudah menunjukkan ke angka 11.30 malam.

Disertai oleh banyak nama-nama besar selain muka-muka baru sebagai pewaris generasi seni. Ini adalah manifestasi betapa kehadiran Karyawan begitu diperlukan oleh industri hiburan tempatan.

Dalam acara ini, Karyawan turut mengumumkan penubuhan biro baru yang dikhaskan kepada kalangan artis generasi muda yang dikenali sebagai Biro Artis Muda.

Antara artis yang menghadiahkan bakat mereka untuk menghiburkan tetamu di acara ini ialah Farahdhiya, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Maya Karin, Remmy Innuendo, Hanna Tan dan ramai lagi.

ARTIS baru dan lama memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Karyawan.

Paling menarik apabila seniwati Datuk Sarimah Ahmad muncul di pentas dengan deklamasi puisi. Puisi berjudul Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dengan durasi masa hampir lima minit itu disampaikan dengan penuh perasaan oleh seniwati veteran berkenaan.

Sesekali ada airmata yang kelihatan bertakung di kelopak mata seniwati ini, menggambarkan kesyahduan hatinya ketika mendeklamasikan puisi berkenaan.

Memetik sebahagian kata-kata, puisi berkenaan seolah-olah memberi ingatan kepada golongan artis-artis veteran agar lebih banyak muhasabah diri, lupakan segala hal yang boleh mencantas rasa hormat generasi muda kepada mereka.

Acara ini berakhir pada ketika jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s