Rahsia Sarimah kekal jelita

Lahirkan rasa kecewa tiada royalti meskipun filem lama sering disiar di televisyen

10 Feb 2010

APRIL ini genaplah usia seniwati Datuk Sarimah Ahmad mencecah 68 tahun. Namun, sesiapa sahaja yang melihatnya pasti terpesona dengan kejelitaan yang masih terpancar pada wajahnya.

Malah, usia 68 tahun itu seolah-olah tidak dapat dikaitkan dengan paras rupanya yang masih menawan, meskipun beliau sudah bergelar nenek dan bakal mendapat cicit tidak lama lagi

Badannya masih langsing, kulitnya pula putih berseri tanpa cela, demikian lapor Utusan Malaysia dalam pertemuan khas dengan Sarimah baru-baru ini.

‘Pernah ketika saya berlakon Ranjau Sepanjang Jalan, ada yang menuduh kononnya saya memakai susuk memandangkan kaki saya tiada kudis walaupun melakukan penggambaran dalam sawah yang penuh dengan lintah,’ kata Sarimah, mengimbas kenangan silam.

Barangkali, tambahnya, ramai yang terlupa, wanita kampung sepertinya dikurniakan kecantikan semula jadi ditambah pula bijak mengurus diri selain mengamalkan petuapetua tradisional.

Berlandaskan amalan inilah, pelakon yang terkenal dengan wataknya sebagai isteri ketiga dalam filem Madu Tiga dan isteri terseksa dalam Ibu Mertuaku itu tidak sama sekali percaya dengan pembedahan plastik untuk mencantikkan diri, apatah lagi mengamalkan susuk dan sebagainya kerana baginya tiada jalan mudah untuk apa yang diidamkan.

‘Amalan tradisonal kini kembali mendapat tempat dalam masyarakat kita, tetapi segelintir sahaja yang masih melakukannya,’ kata Sarimah.

Justeru, katanya, beliau terpanggil untuk berkongsi amalan dan rahsianya bersama orang ramai melalui bengkel kecantikan yang akan diadakannya tidak lama lagi di Hotel Royal Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada 27 Februari ini.

Dengan bayaran RM300 ($124), bengkel eksklusif itu akan membincangkan topiktopik seperti kepentingan menjaga kesihatan. Sarimah akan berkongsi pengalamannya menjaga kecantikan dari kecil sehingga sekarang.

Di samping itu, beliau juga akan menyelitkan petua dan pantang larang selepas bersalin, selain mengadakan demonstrasi senaman yang diamalkannya serta produkproduk tambahan yang beliau gunakan.

‘Kebanyakan petua kecantikan dan kesihatan saya datang daripada arwah emak dan ayah saya.

‘Kita semua adalah hak Allah dan kita perlu menjaga apa yang diamanahkan oleh-Nya dengan baik.

‘Syukur kepada Tuhan, saya masih boleh sujud dan rukuk dengan sempurna sehingga sekarang berkat penjagaan diri dari awal,’ ujar seniwati yang dikurniakan enam orang anak, 31 orang cucu dan bakal menimang seorang cicit Julai ini.

Tawar hati untuk berlakon

Berbicara tentang dunia lakonan pula, penulis buku Petua Kecantikan Daripada Datuk Sarimah Ahmad – Luar & Dalam terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd ini berkata, sebetulnya beliau sudah tawar hati untuk berlakon.

Perasaan itu mula dirasakan selepas beliau terkilan dengan nasib artis-artis veteran seangkatannya yang tidak mendapat royalti yang sepatutnya, terutamanya lakonan filem hitam putih dahulu sehingga ramai yang telah meninggal dunia.

‘Ramai yang berkata untung menjadi saya kerana berlakon dalam filem yang hari-hari diulang tayang sehingga sekarang. Realitinya tiada apa yang menguntungkan.

‘Filem-filem seperti Madu Tiga, Ali Baba Bujang Lapok dan sebagainya yang sehingga kini menjadi pujaan orang ramai sering disiar, namun apa yang kami dapat hanyalah bayaran ketika kami berlakon pada masa dahulu.

‘Pada zaman itu, saya hanya mendapat RM100 untuk lakonan saya sebagai Marjina dalam Ali Baba Bujang Lapok manakala dalam Tiga Abdul pula tidak sampai RM2,000.

‘Hari ini, hampir setiap hari filem lakonan saya disiarkan di kaca televisyen, tetapi saya tidak pernah mendapat royalti.

‘Penat lelah kami menghiburkan orang ramai tidak dihargai sedangkan sudah 30 tahun, sampai sekarang, filem kami dimainkan,’ ujarnya kecewa.

Namun, beliau tidak terus menutup hatinya kepada bidang lakonan. Jika beliau terpanggil untuk berlakon, beliau hanya mahu watak yang membawa pengertian dan teladan kepada dirinya dan penonton.

Ini seperti drama bersiri berunsur keagamaan, Cinta Madinah, yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2005.

Mereka yang ingin mengikuti bengkel kecantikan Sarimah boleh menghubungi Syed Mahdi di 012-286 2156.

Sumber asal di sini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s