Sarimah – Berlakon sekadar mencari kepuasan

Oleh WANDA IDRIS  |  27/11/2004
Sumber asal utusan.com.my.

TIADA siapa mampu menafikan kecantikan dan pesona seniwati Datuk Sarimah Ahmad biar kini usianya sudah menjangkau 62 tahun. Masih jelita dengan potongan badan yang menarik, senyuman yang dilemparkan nyata membuatkan mata terus melirik kepadanya.

Malah keramahan serta kemesraan yang ditunjukkan biar baru pertama kali bersua antara yang membuatkan bintang filem popular era Jalan Ampas ini tersendiri.

Sudah mempunyai 29 cucu daripada enam orang anak bukanlah satu alasan untuk dia melupakan soal kecantikan.

Bagi primadona filem Melayu ini, kecantikan adalah suatu anugerah yang perlu dipelihara tanpa perlu mengenal usia.

Ini kerana katanya, kecantikan bukan sekadar lahir daripada rupa paras yang menawan tetapi juga daripada kesihatan diri yang baik.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya sihat. Mungkin kerana amalan menjaga kesihatan sejak dari awal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Lantaran itu, Sarimah berhasrat untuk berkongsi rahsia kecantikan dirinya dengan para peminat.

Katanya, dia akan menerbitkan sebuah buku mengenai kecantikan diri dan penjagaan badan luar dan dalam tidak lama lagi.

Buku berjudul Petua Kecantikan Daripada Dato’ Sarimah Ahmad itu merupakan terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

“Saya mahu berkongsi bersama orang ramai amalan-amalan yang saya lakukan untuk menjaga kecantikan dan kesihatan diri.

“Saya ingin memberitahu mereka tentang pentingnya mengamalkan petua yang digunakan oleh orang dahulu kala khususnya kepada mereka yang dalam hari (berpantang).

“Saya mahu mereka menghargainya bukan sahaja ia sangat bermanfaat tetapi juga kerana ia budaya kita.

“Saya lihat anak-anak zaman ini mengambil mudah soal tersebut kerana merasakan ia sesuatu yang remeh-temeh.

“Sebenarnya penjagaan diri waktu berpantang amat bagus untuk kesihatan diri di kemudian hari. Saya tidak nafikan, saya amat mengambil berat soal itu dan saya mendapat kebaikan hari ini.

“Alhamdulillah, walaupun sudah berusia, sehingga hari ini saya tidak pernah mengalami sakit-sakit sendi,” katanya.

Sarimah memberitahu, selain menjaga kesihatan terutama ketika pantang, dia juga senang melakukan tugasan rumah seperti membasuh pakaian sendiri tanpa bantuan mesin basuh.

“Malah sehingga hari ini, saya masih melakukan sits up setiap hari,” jelasnya mengenai tips penjagaan diri yang diamalkan.

Sarimah yang kini kembali mewarnai dunia lakonan setelah 13 tahun menyepikan diri juga memberitahu, selain buku tersebut, dia juga kini dalam perancangan untuk menghasilkan buku biografi dirinya.

Menurut anak kelahiran Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang itu, dia akan menceritakan kisah zaman silamnya di dalam buku tersebut.

“Buku itu akan menceritakan segala-galanya mengenai diri saya dan pengalaman hidup saya dari kecil hingga dewasa.

“Tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentang buku ini. Tapi ia akan menceritakan tentang jatuh bangun Sarimah Ahmad sejak kecil hinggalah ke tua,” ceritanya yang lebih 30 tahun menceburi bidang seni bermula filem Ali Baba Bujang Lapok sewaktu usianya 17 tahun.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Sarimah yang pernah dianugerahkan Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia Kedua pada 1981 kerana lakonannya yang mantap dalam filem Dia Ibuku, kini membintangi telenovela Masih Ada Cinta yang disiarkan dalam slot Samarinda di TV3, berkata:

“Hari ini berlakon sekadar untuk kepuasan. Bukan lagi kerana mencari rezeki seperti masa lalu.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s